Cili Padi

Cili Padi

Friday, April 29, 2011

Tugasan Masa cuti (4C/4G) - RUMUSAN

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang cara-cara mewujudkan amalan berjimat cermat dan masalah ibu bapa dalam menguruskan kewangan keluarga. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Amalan berjimat cermat merupakan sikap yang mulia dan seharusnya dipraktikkan sepenuhnya oleh masyarakat Malaysia, apatah lagi dengan keadaan harga barangan yang semakin meningkat. Ramai daripada kita boros dalam berbelanja sehinggakan menyusahkan diri dan keluarga. Oleh itu, langkah-langkah yang sewajarnya perlu diambil untuk menanamkan sikap berjimat cermat dalam kalangan masyarakat. Amalan menabung wajar diterapkan dalam kalangan kanak-kanak bagi memberi pendedahan sejak usia awal terhadap pengurusan kewangan. Pepatah Melayu, melentur buluh biar dari rebung hendaklah menjadi asas penting terhadap tabiat yang baik untuk masa depan. Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) , sebagai pertubuhan bukan kerajaan yang aktif memberi maklumat, pendidikan dan perlindungan kepada pengguna agar tahu menguruskan kewangan yang betul. Sebenarnya amalan berjimat banyak bergantung pada sikap ibu bapa.
Oleh itu, ibu bapa haruslah menyediakan belanjawan kewangan keluarga. Melalui belanjawan kewangan, perbelanjaan dapat dikawal. Tanpa belanjawan kewangan, ibu bapa akan membeli apa-apa sahaja yang difikirkan menarik tanpa menyedari tabungan semakin berkurangan. Malah, ibu bapa perlu merancang kewangan untuk masa depan anak. Sediakan payung sebelum hujan. Anak-anak yang masih kecil memang perbelanjaannya tidak banyak, tetapi apabila meningkat remaja , kos pengajian di peringkat tinggi amat membebankan jika tiada perancangan yang tepat. Ramai daripada kita suka makan di luar atas alasan masing-masing sibuk bekerja. Ada yang berpendapat , sesudah puas bekerja, tidak menjadi masalah merasai kesusahan tersebut dengan berhibur di luar. Amalan tersebut tidak salah, tetapi perlulah berpada-pada. Oleh itu, dicadangkan masak sendiri di rumah untuk makanan keluarga. Air tangan ibu atau isteri akan mengikat kasih sayang antara keluarga serta lebih terjaga kebersihannya.
Malah, sebaik-baiknya kita patut membawa bekalan ke pejabat atau sekolah. Jangan malu untuk membawa bekal ke pejabat atau ke sekolah. Dengan cara ini kita dapat berjimat paling kurang RM5.00 sehari. Duit yang dijimatkan ini boleh dijadikan simpanan untuk masa hadapan dan kecemasan. Sesiapapun tidak dapat menafikan bahawa kos penyelenggaraan kereta amat tinggi. Oleh itu, dicadangkan kita perlu berkongsi kenderaan untuk ke tempat kerja. Walaupun harga minyak telah turun namun amalan berjimat cermat akan sentiasa menguntungkan kita. Gunakan kenderaan awam seperti bas, komuter atau LRT sebagai alternatif. Kita juga perlu berjimat dalam penggunaan air, elektrik dan gas. Sebagi contoh, keluarga perlu dididik untuk menghargai nikmat ini dan elakkan dari pembaziran dengan menutup peralatan elektrik di ruang yang tidak digunakan. Berpada-pada menggunakan pendingin udara. Begitu juga air di bilik mandi ketika mandi atau mencuci. Ketika membeli-belah pula, kita perlu membuat perbandingan harga terlebih dahulu.
Amalan ini amat penting kerana kadangkala terdapat perbezaan harga di antara kedai; lain tempat lain harga walaupun barang yang dijual adalah sama dari segi jenis dan kualitinya. Amalan ini membantu juga untuk berjimat. Malah, sebaik-sebaiknya kita mengelakkan membeli barangan berjenama. Dalam situasi ekonomi yang merosot kini, kita tidak perlu terlalu berkira tentang jenama barangan yang ingin dibeli. Jika barangan tersebut mempunyai kualiti yang baik setanding dengan barangan berjenama, kita sebagai pengguna harus bijak memilihnya. Jelaslah kepada kita, amalan berjimat cermat sudah pasti akan melahirkan masyarakat yang bijak dan progresif kerana mempunyai sumber kewangan yang mencukupi. Mahatma Gandhi ada berkata, " Berfikir untuk hari esok, namun bertindaklah hari ini". Oleh yang demikian, pelbagai pihak wajar memainkan peranan agar amalan berjimat cermat menjadi budaya masyarakat kita setiap masa tanpa mengira peringkat umur.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana " Generasi Muda Perlu Diterap Cara Berhemat Urus Kewangan", oleh Jami'ah Shukri, Berita Harian, 23 Mac 2010_

Berdasarkan petikan rumusan, jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

1. Berikan maksud rangkai kata situasi ekomoni yang merosot

2. Nyatakan tiga amalan negatif masyarakat ketika berbelanja.

3. Pada pendapat anda, apakah peranan yang perlu dimainkan oleh sekolah, agar tabiat berhemat dalam berbelanja dapat disemai dalam jiwa pelajar-pelajar?
Kemukakan empat pendapat anda.


Nota : Sila hantar tugasan anda pada 4 Mei 2011, hari Rabu sebelum jam 1.35 petang.

Pelayaran Yang Penuh Peristiwa

NILAI MURNI


-Baik hati Contohnya, Awang Sulung Merah Muda membantu Tuan Puteri Dayang Seri Jawa mengemudi kapal layar setelah tuan puteri penat.


-Berbudi pekerti mulia Contohnya, Awang Sulung Merah Muda tidak menunjuk-nunjuk dan tidak angkuh semasa baginda menyamar sebagai orang suruhan.


-Kasih sayang sesama insan Contohnya, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa enggan berkahwin dengan jurumudi kerana tuan puteri sangat sayang akan Awang Sulung Merah Muda.


-Bersedia memohon maaf Tuanku Nakhoda Tua memohon maaf daripada Awang Sulung Merah Muda setelah mendengar cerita yang sebenarnya daripada Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.


-Mengenang budi dan patuh pada janji Tuanku Nakhoda Tua mengahwinkan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dengan Awang Sulung Merah Muda seperti yang dijanjikan.



PENGAJARAN


-Kita hendaklah membantu orang yang memerlukan bantuan Contohnya, Awang Sulung Merah Muda membantu Tuan Puteri Dayang Seri Jawa mengemudikan kapal layar kerana tuan puteri telah keletihan.


-Kita hendaklah bekerjasama semasa menjalankan tugas Contohnya, Awang Sulung Merah Muda menentang lanun di perairan Pulau Salah Nama.


-Kita hendaklah tegas dalam membuat keputusan Contohnya, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa membantah perkahwinannya dengan jurumudi yang penipu itu.


-Kita hendaklah memaafkan kesalahan orang lain Contohnya, Awang Sulung Merah Muda memaafkan Tuanku Nakhoda Tua yang selalu menghinanya semasa baginda menyamar sebagai budak suruhan di atas kapal.


-Kita hendaklah menunaikan janji Contohnya, Tuanku Nakhoda Tua mengahwinkan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dengan Awang Sulung Merah Muda seperti yang telah dijanjikan.

Thursday, April 28, 2011

Pelayaran Yang Penuh Peristiwa

SINOPSIS


Awang Sulung Merah Muda, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dan Si Kembang Cina belayar menaiki kapal layar dari Negeri Mengkalih menuju ke Semarang Jawa. Semua anak-anak kapal layar mabuk kecuali mereka bertiga. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa meminta Si Kembang Cina memanggil Awang Sulung mengemudikan kapal layar kerana tuan puteri telah penat. Sebenarnya, tuan puteri mahu berdua-duaan dengan Awang Sulung. Pelayaran sangat mudah kerana Awang Sulung sangat sakti.

Setelah beberapa hari belayar, tuan puteri mengajak Awang Sulung berlabuh di Pulau Tapai untuk mengambil bekalan air dan api. Setelah berlabuh barulah anak-anak kapal sedar. Jurumudi melumurkan kerisnya dengan darah ayam untuk meyakinkan Tuanku Nakhoda Tua bahawa dialah yang menyelamatkan kapal layar dari serangan Tuan Puteri Dayang Nuramah. Lantaran itu, Tuan Nakhoda Tua mengumumkan bahawa sesiapa yang dapat menyelamatkan kapal layar hingga ke Pulau Jawa maka akan dikahwinkan dengan anakandanya, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.

Untuk menguji kehandalan Awang Sulung, tuan puteri meminta Awang Sulung mengambil air minuman dan kayu api. Awang Sulung mengambil air di tengah laut dan memungut batang nipah untuk dijadikan kayu api. Jurumudi yang membenci Awang Sulung meminta Si Kembang Cina memberi sisa-sisa nasi di dalam tempurung berbulu kepada Awang Sulung. Tuan puteri marah, lalu menitahkan Si Kembang Cina menghidangkan makanan di dalam talam beralaskan kain kuning.

Pelayaran diteruskan. Apabila sampai di Pulau Salah Nama, mereka diserang oleh lanun. Awang Sulung mengatakan tangan dan kakinya sakit apabila diminta menentang lanun. Tuan puteri menyuruh Si Kembang Cina memberikan limau selipat pagar dan sabun wangi kepada Awang Sulung. Setelah mandi maka terpancarlah rupa paras Awang Sulung yang sebenar. Awang Sulung memakai pakaian pusaka tua warisan daripada bondanya, keris dan pedang sakti kemudian menyeru lanun-lanun menentangnya. Demi mendengar suara Awang Sulung, lanun-lanun pun menggigil ketakutan.

Awang Sulung mahu pulang ke Bandar Mengkalih kerana hutangnya dengan Tuanku Nakhoda Tua telah langsai kerana baginda telah menyelamatkan kapal layar daripada serangan Tuan Puteri Dayang Nuramah. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa enggan berpisah dengan Awang Sulung. Tuan puteri cuba terjun ke dalam laut tetapi dihalang oleh hulubalang. Tuan Puteri pengsan dan sedar setelah mendengar pantun yang diucapkan oleh Awang Sulung.

Lanun-lanun mengisikan dinar emas di dalam kapal layar sebelum pulang ke kapal masing-masing. Jurumudi memberitahu Tuanku Nakhoda Tua bahawa dialah yang menyelamatkan kapal layar daripada serangan lanun. Oleh itu, Tuanku Nakhoda Tua menitahkan Mualim Cik Mas menikahkan Tuan Puteri dengan jurumudi. Tuan puteri memberitahu Tuanku Nakhoda Tua perkara yang sebenar. Pernikahan tersebut dibatalkan. Tuanku Nakhoda Tua meminta maaf kemudian mengahwinkan Awang Sulung dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.

Pelayaran diteruskan sehinggalah sampai di negeri Pati Talak Terengganu. Raja negeri Pati Talak Terengganu mempersilakan Awang Sulung naik ke darat untuk bersuka-sukaan. Baginda mahu mengakui bahawa Awang Sulung itu adalah anak buahnya tetapi khuatir jika tersilap orang. Rakyat Terengganu kagum akan kehebatan Awang Sulung kerana alat-alat kebesaran diraja berbunyi sendiri menyambut kedatangan baginda.

Setelah mendapat keizinan daripada raja Terengganu, Awang Sulung mempertaruhkan Kinantan Suci dalam pertandingan berlaga ayam. Kinantan Suci hampir tewas tetapi setelah diseru Awang Sulung, Kinantan Suci dapat menaji lawannya hingga mati. Setelah selesai menyabung ayam, Awang Sulung dipersilakan naik ke istana. Semua pembesar negeri dan rakyat negeri Terengganu amat gembira dikunjungi Awang Sulung.