Cili Padi

Cili Padi

Tuesday, March 22, 2011

Rumahku Keluargaku Syurgaku

Alhamdulillah. Dah nak habis Mac 2011. Tak lama lagi masuk bulan baru. Cepat betul masa berlalu. Bulan Mac banyak sejarah. Paling hebat ulang tahun perkahwinanku yang ke 17. Erm..angka 17 lagi. Anak manis 17, aku lahir pada 17, tarikh nikah 17, sama tarikh nikah arwah emak bapakku. Bertuah sungguh kerana kebetulan pada tarikh yang sama.
Tahun ini aku dapat surprise dari anak-anakku yang kali pertama meraikan kami sempena ulangtahun perkahwinan. Aku tak sangka anak-anak aku dapat buat satu program yang simple tapi aku rasa cukup hebat. Sepanjang hidup aku, aku tak pernah meraikan ulangtahun perkahwinan kedua ibubapa ku. Alhamdulillah..kerana anak-anakku begitu ambil berat tarikh ulang tahun itu.
Sekarang aku rasa sebuah kehidupan berkeluarga telah sempurna. Ada tempat berteduh untuk anak-anak. Ada isteri yang penyayang. Anak-anak yang pintar. Jiran tetangga yang ramah tamah dan ambil berat. Rakan-rakan sekerja yang understanding. Uh betapa nikmatnya aku rasa hidupku sekarang. Mungkin berkat kesabaran ku dan ahli keluarga menempuh segala dugaan.
Aku berharap anakku berjaya dengan cemerlang dalam SPM tahun ni. Juga anak-anakku yang lain agar mengulangi kecemerlangan seperti tahun-tahun sudah. Mereka adalah hartaku yang tidak ternilai harganya yang selama ini mengangkat martabat keluargaku khususnya dalam bidang pelajaran. Biarlah aku miskin harta asalkan anak-anakku berjaya dalam pelajaran serta menjadi anak-anak yang solehah.
Kepada Allah Yang Maha Esa kumohon agar Kau limpahi kami dengan rezeki yang halal, dijauhi daripada sebarang fitnah dan niat jahat, diberkati hidup sekeluarga serta sentiasa berada dalam rumahtangga yang aman, tenang dan bahagia. Moga kami dilindungi oleh Allah daripada apa-apa angkara jahat yang cuba menganggu kedamaian kami sekeluarga. Amin.

Monday, March 14, 2011

Erti Sebuah Perjuangan

Dalam diam sudah 25 tahun aku berada di kerjaya ini. Bermula dari 'orang sangkut' hinggalah aku jadi orang sebenar dalam kerjaya pilihanku. Sepanjang tempoh itu aku melalui pelbagai cabaran. Ada yang suka , ada yang duka. Namun, mencari lumrah hidup. Ibarat setiap yang pasang pasti ada surutnya, tiap siang ada malamnya, tiap yang panas pasti ada hujannya. Aku tak fikir sangat tentang kepayahan sepanjang tempoh itu kerana aku dah biasa dengan kepayahan. Aku tidak fikir sangat tentang kemenangan kerana aku dah biasa dengan kekalahan.
Kalau dihitung jumlah produk selama tempoh itu jugak, dah beribu-ribu rasanya. Tapi aku tak pasti sama ada mereka masih ingat pada aku. Ah, itu tak penting. Yang lebih mustahak aku telah menjadikan mereka semua ada sedikit pemindahan ilmu. Biasalah, lumrah manusia seperti pepatah ,'kacang lupakan kulit'. Nak buat macam mana. Kecuali mereka terfikir untuk mengimbas jasa pendidik mereka. Pasti mereka akan muhasabah diri.
Kini aku berada di fasa akhir sebuah kerjaya. Biarpun masa masih agak lama, aku harus sedar bahawa fasa akhir itu adalah perkara yang pasti berlaku. Cuma aku kini seperti 'kembali ke pangkuan'. Selama tempoh berkenaan aku banyak berada di luar daerah kelahiran. Takpe lah, dah adat berkhidmat. Satu cabaran tersemat dalam fikiran aku apabila ada suara yang seolah-olah memberi pesanan. Lebih kurang bunyinya,' balik ke tempat kelahiran seharusnya perlu lebih baik daripada orang luar untuk memberi khidmat.' Perkara itu aku sambut dengan positif.
Dengan izin Allah, aku akan cuba. Sungguhpun pada permulaan terdapat sedikit gelora di air tenang, aku bersedia menempuhi segala cabaran. Aku berasa matang dengan bekalan cabaran yang lepas untuk menghadapi cabaran baru di daerah kelahiran sendiri. Semoga Allah memberi aku kekuatan untuk menghadapi semuanya. Aku amat yakin Allah bersama aku dalam menghadapi dugaan dan cabaran.
Syukurku kerana dibekalkan dengan pesanan keramat kedua-dua arwah ibu bapaku supaya menjadi pejuang sebenar dalam menempuh pancaroba kehidupan. Mereka sudah biasa dengan kepayahan dan cabaran. Kini giliran aku untuk sebaris dengan perjuangan ibu ayahku. Semoga hatiku cekal dan tabah menghadapi semua itu. Amin.

Sunday, March 13, 2011

Tugasan Masa Cuti Bahasa Melayu Tingkatan 4 (4C dan 4G)

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha menghidupkan semangat kejiranan dan masalah dalam mewujudkan semangat ini. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Semangat kejiranan merujuk semangat membantu masyarakat setempat terutama jiran bersebelahan dalam menjalani kehidupan seharian. Kita akui semangat kejiranan semakin hilang dalam masyarakat kita sehingga menimbulkan pelbagai isu semasa pula. Jadi, ada banyak faedah yang boleh dilaksanakan untuk memastikan semangat ini berterusan kerana memang ada kepentingannya untuk menghidupkan semangat mulia ini. Langkah awal ialah masyarakat menghidupkan semua konsep rukun tetangga perumahan terutama pada malam hari. Aktiviti ini memerlukan pembabitan semua pihak tanpa mengira kaum. Oleh itu, hubungan rapat yang terjalin memalui rukun tetangga ini mengeratkan lagi perhubungan antara jiran. Selain itu, semangat ini mampu dipupuk dengan mengadakan pelbagai majlis yang melibatkan orang ramai. Semua jiran akan beramah mesra dan mengenali satu sama lain melalui majlis yang dapat menghimpunkan semua penduduk dalam satu-satu masa. Setiap hari penduduk begitu sibuk dan pertemuan yang dijalankan akan mengeratkan ikatan silaturahim.
Kerajaan turut mampu memainkan peranan dengan mengadakan kempen kesedaran semangat kejiranan. Penggunaan media massa seluas mungkin dengan iklan yang menarik sudah pasti berupaya menarik perhatian masyarakat terhadap isu ini. Masyarakat akan mula mempersoalkan tahap semangat kejiranan mereka dan berusaha ke arah mengekalkan serta meningkatkan semangat itu di kawasan mereka. Sememangnya kerajaan berperanan penting dalam memulakan usaha memupuk semangat mulia ini. Pada masa yang sama sikap dan persepsi masyarakat perlu berubah. Masyarakat hendaklah memandang semangat kejiranan ini sebagai satu perkara penting dalam kehidupan bermasyarakat. Semangat ini perlulah diutamakan dalam sebarang tindakan yang ingin dilaksanakan oleh masyarakat. Jelaslah, paradigma yang baharu ini memastikan semangat kejiranan akan terus mekar dalam masyarakat kita.
Di kawasan bandar, ketua penduduk perlulah memainkan peranan memastikan penduduk di kawasannya hidup dalam keadaan harmoni. Tidak kira apa kaum sekalipun, ikatan kejiranan akan menjadi kukuh kalau ada rasaa hormat-menghormati dan bekerjasama. Ketua penduduk mestilah mengetahui dan mengambil perhatian terhadap hubungan jiran-jiran yang bermasalah. Sebagai contoh, jika sudah diketahui dua buah keluarga sering bertengkar, ketua penduduk mestilah memikirkan kaedah-kaedah untuk merapatkan hubungan kedua-dua buah keluarga tersebut, di samping memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang berlaku kelak jika masalah tersebut tidak ditangani secepat mungkin. Ketua penduduk juga mestilah memikirkan cara-cara untuk mengukuhkan hubungan kejiranan di kawasan yang ditanganinya.
Membiarkan penduduk tanpa sebarang aktiviti akan merenggangkan hubungan kejiranan. Hari keluarga dan gotong-royong merupakan antara aktiviti yang boleh dijalankan untuk memastikan semangat kejiranan semakin padu. Ketua penduduk mestilah menjalankan peranan yang lebih berkesan terutamanya menjaga anak-anak buah di bawah jagaannya dengan cara bertanya khabar dan menyelesaikan masalah. Di kampung-kampung, mungkin kes seperti ini tidak akan berlaku. Antaranya hubungan sesama jiran erat kerana sudah mengenali sejak kecil lagi. Selain itu, hubungan kejiranan di sesetengah kampung masih utuh disebabkan banyak aktiviti dilakukan bersama-sama seperti bergotong-royong. Malah corak pekerjaan yang sama menyebabkan hubungan kejiranan menjadi lebih kental. Semangat kejiranan memang boleh dicapai melalui beberapa kaedah yang dijelaskan tadi. Cuma tidak ramai kalangan kita yang peka akan kepentingan hidup bermasyarakat. Rata-rata lebih mengutamakan wang berbanding hal-hal lain.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana " Memantapkan Hubungan Kejiranan", oleh M. Jasni Majed, Utusan Malaysia, 30 April 2010)

Berdasarkan petikan rumusan, jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

i. Berikan maksud rangkai kata ditangani secepat mungkin.

ii. Masalah kejiranan kurang berlaku di kampung-kampung. Nyatakan tiga sebab-sebabnya.

iii. Pada pendapat anda, apakah yang patut anda lakukan untuk memastikan hubungan anda dengan jiran anda menjadi karab.
Kemukakan empat alasan anda.

Nota : Tulis rumusan dan jawapan kefahaman di dalam buku rumusan. Hantar pada 21 Mac 2011.