Cili Padi

Cili Padi

Thursday, April 28, 2011

Pelayaran Yang Penuh Peristiwa

SINOPSIS


Awang Sulung Merah Muda, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dan Si Kembang Cina belayar menaiki kapal layar dari Negeri Mengkalih menuju ke Semarang Jawa. Semua anak-anak kapal layar mabuk kecuali mereka bertiga. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa meminta Si Kembang Cina memanggil Awang Sulung mengemudikan kapal layar kerana tuan puteri telah penat. Sebenarnya, tuan puteri mahu berdua-duaan dengan Awang Sulung. Pelayaran sangat mudah kerana Awang Sulung sangat sakti.

Setelah beberapa hari belayar, tuan puteri mengajak Awang Sulung berlabuh di Pulau Tapai untuk mengambil bekalan air dan api. Setelah berlabuh barulah anak-anak kapal sedar. Jurumudi melumurkan kerisnya dengan darah ayam untuk meyakinkan Tuanku Nakhoda Tua bahawa dialah yang menyelamatkan kapal layar dari serangan Tuan Puteri Dayang Nuramah. Lantaran itu, Tuan Nakhoda Tua mengumumkan bahawa sesiapa yang dapat menyelamatkan kapal layar hingga ke Pulau Jawa maka akan dikahwinkan dengan anakandanya, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.

Untuk menguji kehandalan Awang Sulung, tuan puteri meminta Awang Sulung mengambil air minuman dan kayu api. Awang Sulung mengambil air di tengah laut dan memungut batang nipah untuk dijadikan kayu api. Jurumudi yang membenci Awang Sulung meminta Si Kembang Cina memberi sisa-sisa nasi di dalam tempurung berbulu kepada Awang Sulung. Tuan puteri marah, lalu menitahkan Si Kembang Cina menghidangkan makanan di dalam talam beralaskan kain kuning.

Pelayaran diteruskan. Apabila sampai di Pulau Salah Nama, mereka diserang oleh lanun. Awang Sulung mengatakan tangan dan kakinya sakit apabila diminta menentang lanun. Tuan puteri menyuruh Si Kembang Cina memberikan limau selipat pagar dan sabun wangi kepada Awang Sulung. Setelah mandi maka terpancarlah rupa paras Awang Sulung yang sebenar. Awang Sulung memakai pakaian pusaka tua warisan daripada bondanya, keris dan pedang sakti kemudian menyeru lanun-lanun menentangnya. Demi mendengar suara Awang Sulung, lanun-lanun pun menggigil ketakutan.

Awang Sulung mahu pulang ke Bandar Mengkalih kerana hutangnya dengan Tuanku Nakhoda Tua telah langsai kerana baginda telah menyelamatkan kapal layar daripada serangan Tuan Puteri Dayang Nuramah. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa enggan berpisah dengan Awang Sulung. Tuan puteri cuba terjun ke dalam laut tetapi dihalang oleh hulubalang. Tuan Puteri pengsan dan sedar setelah mendengar pantun yang diucapkan oleh Awang Sulung.

Lanun-lanun mengisikan dinar emas di dalam kapal layar sebelum pulang ke kapal masing-masing. Jurumudi memberitahu Tuanku Nakhoda Tua bahawa dialah yang menyelamatkan kapal layar daripada serangan lanun. Oleh itu, Tuanku Nakhoda Tua menitahkan Mualim Cik Mas menikahkan Tuan Puteri dengan jurumudi. Tuan puteri memberitahu Tuanku Nakhoda Tua perkara yang sebenar. Pernikahan tersebut dibatalkan. Tuanku Nakhoda Tua meminta maaf kemudian mengahwinkan Awang Sulung dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.

Pelayaran diteruskan sehinggalah sampai di negeri Pati Talak Terengganu. Raja negeri Pati Talak Terengganu mempersilakan Awang Sulung naik ke darat untuk bersuka-sukaan. Baginda mahu mengakui bahawa Awang Sulung itu adalah anak buahnya tetapi khuatir jika tersilap orang. Rakyat Terengganu kagum akan kehebatan Awang Sulung kerana alat-alat kebesaran diraja berbunyi sendiri menyambut kedatangan baginda.

Setelah mendapat keizinan daripada raja Terengganu, Awang Sulung mempertaruhkan Kinantan Suci dalam pertandingan berlaga ayam. Kinantan Suci hampir tewas tetapi setelah diseru Awang Sulung, Kinantan Suci dapat menaji lawannya hingga mati. Setelah selesai menyabung ayam, Awang Sulung dipersilakan naik ke istana. Semua pembesar negeri dan rakyat negeri Terengganu amat gembira dikunjungi Awang Sulung.

No comments:

Post a Comment