Cili Padi

Cili Padi

Thursday, May 12, 2011

Wednesday, May 11, 2011

Sembang Sengal

E eh..kenapalah banyak sangat penyibuk kat dunia ni. Cukuplah dengan adanya penyibuk sejagat..nyamuk , lalat, semut..apabila sembur racun, selesai riwayat, tamat sebuah kisah satu evolusi. Tapi penyibuk lain ni nampak lain macam aje. Tak ada sibuk buat sibuk. Orang diberi kepercayaan, dia buat sibuk. Tak dapat yang dia hendak, dia menyebuk. Agaknya dia lupa nak cebuk kot..hingga jadi penyebuk nombor satu kat dunia ni..
Entahlah..aku pun tak tahu bila si penyibuk ni nak berambus dari dunia ni. Tak ada penyibuk aman dunia. Malangnya, suku sakat si penyibuk ni sama jugak macam dia. Malah lebih teruk daripada penyibuk..pencacai. Gelaran lebih baik buat mala'un macam ni. Aku rasa golongan macam ni dilahirkan untuk jadi penyibuk kot..apa taknya, sibuk sangat dengan hal orang lain. Macam dunia ni semua dia nak bolot. Kesian..ada jugak manusia semacam ni.
Tapi, dalam bahagian lain kat dunia ni, banyak penyibuk tak lama wujud kat dunia ni. Yang aku jumpa golongan ni hampir serupa je. Lebih teruk lagi episod penghabisan hidupnya di akhiri dengan pelbagai keaiban. Kes tu lah, ke ni lah. Nak cerita sampai anak cucu pun tak habis-habis tentang keaiban tu. Yang pelik tu, si penyibuk tu muka selamba je. Macam tak ada apa-apa berlaku. Lebih menarik lagi, ada pembela pulak tu walaupun si penyibuk tu lebih teruk lagi daripada penyamun.
Nasib baik aku jumpa golongan macam tu. Sekurang-kurangnya bertambah ilmu dan pengalaman aku untuk menghadapi geng penyibuk macam tu. Bukan macam geng bas sekolah..untuk kita-kita aje. Ahaks! Tapi si penyibuk yang aku pernah jumpa lebih kurang je perangai dia orang. Pandai berlakon : menangis, nada simpati, tunjuk baik dan bermacam-macam helah bela diri. Banyak kali aku berentap dengan penyibuk macam tu. Biasalah..hukum karma katakan. Buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat!
Kalau setakat berentap je aku rasa tak puas, mesti ada akal dan ilmu. Bukan ilmu hitam. Buat pe buat dosa. Akhirnya si penyibuk tu macam kera kena belacan, macam rusa masuk kampung. Dengarnya penyibuk tu dah keluar dari kampung berkenaan. Itu lah..kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga. Sarang tebuan jangak dijolok..
Apapun, si penyibuk terbaru yang aku jumpa akhir cerita macam si penyibuk yang pernah aku jumpa sebelum ni. Nampak dia dah banyak 'macam' aku tengok. Macam orang sasau. Macam orang gila. Macam tak de kawan. Macam hilang kuasa. Macam kena pulau. Macam muka seposen. Lebih teruk lagi macam muka babi pun ada...opss..kurang soflan pulak. Tak pe. Apa ade hal. Aku nak tulis aku punya pasal lah.
Lagipun ni kan sembang sengal. Apapun aku nak fikir aku punya fasal le. Macam buat cerpen. Nampak macam real je, rupa-rupanya cerita je. Tapi apa yang berlaku pada aku memang kisah benar. Dulu aku tak lah macam ni. Sopan dan suci je. Mak dan bapak aku pun tak pernah berkasar dengan aku. Sebab aku tak pernah buat perkara yang membuatkan kedua-dua arwah orang tua aku tu tersinggung. Paling aku tak boleh terima apabila orang kacau aku atas kerja dan amanah yang betul untuk aku kena buat.
Ini semua gara-gara si penyibuk bangsat tu lah. Terfikir jugak. Datangnya seseorang mencerminkan daripada mana dia berasal. Kalau macam ok je, tentu datang daripada keluarga yang ok. Kalau lain macam je, jugak mencerminkan daripada keluarga yang lain macam. Apapun syukur aku kerana dididik untuk menghormati orang lain. Cuma apabila aku kena ganggu macam ni, telah menempatkan aku ke zon yang baru . Zon yang menjadikan aku perlu mempertahankan diri, berterus terang , bertindak balas dan apa yang difikirkan patut untuk tidak memberi ruang orang menindas aku sesuka hati.
Jadi, kepada penyibuk yang nak cuba test power tu lepas ni, lu berhati-hati beb. Sekali aku kena, tiga kali aku balas lu.

Thursday, May 5, 2011

Cerpen : Memori Seorang Tua

LATAR

1. masyarakat

1.1 masyarakat yang mengamalkan sikap bergotong-royong
contoh : Tuk Mat bersama anak muda kampung mengruskan kerja-kerja menyiapkan majlis hari lahir Pak Itam

1.2 masyarakat yang mengagungkan budaya barat
contoh : anak muda yang menerima pendidikan daripada Barat lebih Barat berbanding orang Inggeris sendiri

1.3 masyarakat yang mempertahankan martabat orang Melayu
contoh : Pak Itam mahu orang Melayu menjadi tuan di tanah air sendiri

1.4 masyarakat yang kurang menghargai jasa pejuang tanah air
contoh : wartawan yang diundang untuk membuat liputan majlis hari lahir Pak Itam tidak menghadirinya

2. tempat

2.1 sebuah perkampungan orang Melayu


3. masa

3.1 beberapa tahun selepas negara merdeka
3.2 peristiwa berlaku pada waktu siang

NILAI MURNI

1. kepatuhan
contoh - Tuk Mat patuh menjalankan kerja yang diarahkan oleh Pak Itam

2. kasih sayang
contoh - Pak Itam mengasihi anak cucu dan penduduk kampung menyebabkan dia mengadakan majlis khas untuk mereka

3. semangat bermasyarakat
contoh- orang kampung menghadiri majlis hari lahir Pak Itam

4. keikhlasan
contoh- seniman yang membuat persembahan kebudayaan tidak mengenakan bayaran kerana menghargai sumbangan Pak Itam terhadap negara

PENGAJARAN

1. kita perlu menghargai tokoh yang banyak berjasa kepada negara
2. hendaklah mengamalkan semangat gotong-royong
3. kita wajib menghargai dan menyayangi orang tua kita

Sekapur Sirih Seulas Pinang

Peribahasa Melayu

Perumpamaan 'bagai'

1. bagai pinang dibelah dua
maksud : pasangan yang secucuk atau sepadan

2. bagai abu di atas tunggul
maksud : kedudukan seseorang yang tidak tetap atau terjamin

3. bagai air mencari jenisnya
maksud : gigih mencari ilmu

4. bagai belut diketil ekor
maksud : pantas mengelakkan diri

5. bagai bulan dipagari bintang
maksud : kecantikan seseorang akan menyerlah ketika dikeliling oleh rupawan

'bak'

1. bak manik putus tali
maksud : air mata yang berderaian membasahi pipi

2. bak perahu berat sebelah
maksud : keputusan yang tidak adil

3. bak orang gombang di lebuh
maksud : nampak elok diluar tetapi di dalam tidak sempurna

4. bak pinang dianduh, putus tali dia berdiri
maksud : melakukan sesuatu pekerjaan kerana terpaksa

5. bak tengguli ditukar cuka
maksud : keadaan yang gembira tiba-tiba bertukar duka

'ibarat'

1. ibarat ayam , tiada kais, tiada makan
maksud : kalau tidak bekerja tidak makan

2. ibarat burung, mulut manis jangan dipakai
maksud : kata-kata manis untuk memperdayakan seseorang

3. ibarat perahu, takkan karam sebelah
maksud : kecelakaan yang menimpa seorang ahli keluarga akan turut dirasai ahli keluarga yang lain

4. ibarat rumput yang sudah kering, ditimpa hujan segar sekali
maksud : hidup yang dulu dalam kesusahan, kini beroleh kesenangan kerana bantuan orang lain

5. ibarat tahun berubah musim
maksud : pendirian yang berubah-ubah

'seperti'

1. seperti bulan kesiangan
maksud : rupa yang sangat pucat

2. seperti embun di hujung rumput
maksud : kasih sayang yang tidak berkekalan

3. seperti gunting makan di hujung
maksud : berbuat sesuatu dalam diam tetapi berhasil

4. seperti hujan jatuh ke pasir
maksud : memberi nasihat kepada seseorang yang tidak berguna

5. seperti isi dengan kuku
maksud : hubungan yang sangat akrab

pepatah

1. air diminum rasa duri, nasi dimakan rasa sekam
maksud : berasa sangat sedih

2. akal tak datang sekali, runding tak sekali tiba
maksud : kejayaan tidak akan datang dengan serta-merta tetapi secara beransur-ansur setelah berusaha

3. bergalah ke hilir ketawa buaya, bersuluh di bulan terang tertawa harimau
maksud : jika hendak melakukan sesuatu perkara, mestilah pada tempatnya supaya orang lain tidak mentertawakan kita

4. besar pasak daripada tiang, besar sendal daripada gelegar
maksud : lebih besar atau banyak berbelanja daripada pendapatan

5. ikan di laut asam di darat, bertemu dalam belanga
maksud : asal usul bukan penghalang, kalau sudah jodoh pasti akan menjadi suami isteri juga

Selamat menjalani Peperiksaan Setengah Tahun

Assalamualaikum..
Kepada semua pelajar SMK Senggarang khususnya 4C,4G,3SB,2SB dan 1SB diucapkan selamat menduduki peperiksaan setengah tahun. Study jangan tak study..

Friday, April 29, 2011

Tugasan Masa cuti (4C/4G) - RUMUSAN

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang cara-cara mewujudkan amalan berjimat cermat dan masalah ibu bapa dalam menguruskan kewangan keluarga. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Amalan berjimat cermat merupakan sikap yang mulia dan seharusnya dipraktikkan sepenuhnya oleh masyarakat Malaysia, apatah lagi dengan keadaan harga barangan yang semakin meningkat. Ramai daripada kita boros dalam berbelanja sehinggakan menyusahkan diri dan keluarga. Oleh itu, langkah-langkah yang sewajarnya perlu diambil untuk menanamkan sikap berjimat cermat dalam kalangan masyarakat. Amalan menabung wajar diterapkan dalam kalangan kanak-kanak bagi memberi pendedahan sejak usia awal terhadap pengurusan kewangan. Pepatah Melayu, melentur buluh biar dari rebung hendaklah menjadi asas penting terhadap tabiat yang baik untuk masa depan. Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) , sebagai pertubuhan bukan kerajaan yang aktif memberi maklumat, pendidikan dan perlindungan kepada pengguna agar tahu menguruskan kewangan yang betul. Sebenarnya amalan berjimat banyak bergantung pada sikap ibu bapa.
Oleh itu, ibu bapa haruslah menyediakan belanjawan kewangan keluarga. Melalui belanjawan kewangan, perbelanjaan dapat dikawal. Tanpa belanjawan kewangan, ibu bapa akan membeli apa-apa sahaja yang difikirkan menarik tanpa menyedari tabungan semakin berkurangan. Malah, ibu bapa perlu merancang kewangan untuk masa depan anak. Sediakan payung sebelum hujan. Anak-anak yang masih kecil memang perbelanjaannya tidak banyak, tetapi apabila meningkat remaja , kos pengajian di peringkat tinggi amat membebankan jika tiada perancangan yang tepat. Ramai daripada kita suka makan di luar atas alasan masing-masing sibuk bekerja. Ada yang berpendapat , sesudah puas bekerja, tidak menjadi masalah merasai kesusahan tersebut dengan berhibur di luar. Amalan tersebut tidak salah, tetapi perlulah berpada-pada. Oleh itu, dicadangkan masak sendiri di rumah untuk makanan keluarga. Air tangan ibu atau isteri akan mengikat kasih sayang antara keluarga serta lebih terjaga kebersihannya.
Malah, sebaik-baiknya kita patut membawa bekalan ke pejabat atau sekolah. Jangan malu untuk membawa bekal ke pejabat atau ke sekolah. Dengan cara ini kita dapat berjimat paling kurang RM5.00 sehari. Duit yang dijimatkan ini boleh dijadikan simpanan untuk masa hadapan dan kecemasan. Sesiapapun tidak dapat menafikan bahawa kos penyelenggaraan kereta amat tinggi. Oleh itu, dicadangkan kita perlu berkongsi kenderaan untuk ke tempat kerja. Walaupun harga minyak telah turun namun amalan berjimat cermat akan sentiasa menguntungkan kita. Gunakan kenderaan awam seperti bas, komuter atau LRT sebagai alternatif. Kita juga perlu berjimat dalam penggunaan air, elektrik dan gas. Sebagi contoh, keluarga perlu dididik untuk menghargai nikmat ini dan elakkan dari pembaziran dengan menutup peralatan elektrik di ruang yang tidak digunakan. Berpada-pada menggunakan pendingin udara. Begitu juga air di bilik mandi ketika mandi atau mencuci. Ketika membeli-belah pula, kita perlu membuat perbandingan harga terlebih dahulu.
Amalan ini amat penting kerana kadangkala terdapat perbezaan harga di antara kedai; lain tempat lain harga walaupun barang yang dijual adalah sama dari segi jenis dan kualitinya. Amalan ini membantu juga untuk berjimat. Malah, sebaik-sebaiknya kita mengelakkan membeli barangan berjenama. Dalam situasi ekonomi yang merosot kini, kita tidak perlu terlalu berkira tentang jenama barangan yang ingin dibeli. Jika barangan tersebut mempunyai kualiti yang baik setanding dengan barangan berjenama, kita sebagai pengguna harus bijak memilihnya. Jelaslah kepada kita, amalan berjimat cermat sudah pasti akan melahirkan masyarakat yang bijak dan progresif kerana mempunyai sumber kewangan yang mencukupi. Mahatma Gandhi ada berkata, " Berfikir untuk hari esok, namun bertindaklah hari ini". Oleh yang demikian, pelbagai pihak wajar memainkan peranan agar amalan berjimat cermat menjadi budaya masyarakat kita setiap masa tanpa mengira peringkat umur.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana " Generasi Muda Perlu Diterap Cara Berhemat Urus Kewangan", oleh Jami'ah Shukri, Berita Harian, 23 Mac 2010_

Berdasarkan petikan rumusan, jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

1. Berikan maksud rangkai kata situasi ekomoni yang merosot

2. Nyatakan tiga amalan negatif masyarakat ketika berbelanja.

3. Pada pendapat anda, apakah peranan yang perlu dimainkan oleh sekolah, agar tabiat berhemat dalam berbelanja dapat disemai dalam jiwa pelajar-pelajar?
Kemukakan empat pendapat anda.


Nota : Sila hantar tugasan anda pada 4 Mei 2011, hari Rabu sebelum jam 1.35 petang.

Pelayaran Yang Penuh Peristiwa

NILAI MURNI


-Baik hati Contohnya, Awang Sulung Merah Muda membantu Tuan Puteri Dayang Seri Jawa mengemudi kapal layar setelah tuan puteri penat.


-Berbudi pekerti mulia Contohnya, Awang Sulung Merah Muda tidak menunjuk-nunjuk dan tidak angkuh semasa baginda menyamar sebagai orang suruhan.


-Kasih sayang sesama insan Contohnya, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa enggan berkahwin dengan jurumudi kerana tuan puteri sangat sayang akan Awang Sulung Merah Muda.


-Bersedia memohon maaf Tuanku Nakhoda Tua memohon maaf daripada Awang Sulung Merah Muda setelah mendengar cerita yang sebenarnya daripada Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.


-Mengenang budi dan patuh pada janji Tuanku Nakhoda Tua mengahwinkan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dengan Awang Sulung Merah Muda seperti yang dijanjikan.



PENGAJARAN


-Kita hendaklah membantu orang yang memerlukan bantuan Contohnya, Awang Sulung Merah Muda membantu Tuan Puteri Dayang Seri Jawa mengemudikan kapal layar kerana tuan puteri telah keletihan.


-Kita hendaklah bekerjasama semasa menjalankan tugas Contohnya, Awang Sulung Merah Muda menentang lanun di perairan Pulau Salah Nama.


-Kita hendaklah tegas dalam membuat keputusan Contohnya, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa membantah perkahwinannya dengan jurumudi yang penipu itu.


-Kita hendaklah memaafkan kesalahan orang lain Contohnya, Awang Sulung Merah Muda memaafkan Tuanku Nakhoda Tua yang selalu menghinanya semasa baginda menyamar sebagai budak suruhan di atas kapal.


-Kita hendaklah menunaikan janji Contohnya, Tuanku Nakhoda Tua mengahwinkan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dengan Awang Sulung Merah Muda seperti yang telah dijanjikan.

Thursday, April 28, 2011

Pelayaran Yang Penuh Peristiwa

SINOPSIS


Awang Sulung Merah Muda, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dan Si Kembang Cina belayar menaiki kapal layar dari Negeri Mengkalih menuju ke Semarang Jawa. Semua anak-anak kapal layar mabuk kecuali mereka bertiga. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa meminta Si Kembang Cina memanggil Awang Sulung mengemudikan kapal layar kerana tuan puteri telah penat. Sebenarnya, tuan puteri mahu berdua-duaan dengan Awang Sulung. Pelayaran sangat mudah kerana Awang Sulung sangat sakti.

Setelah beberapa hari belayar, tuan puteri mengajak Awang Sulung berlabuh di Pulau Tapai untuk mengambil bekalan air dan api. Setelah berlabuh barulah anak-anak kapal sedar. Jurumudi melumurkan kerisnya dengan darah ayam untuk meyakinkan Tuanku Nakhoda Tua bahawa dialah yang menyelamatkan kapal layar dari serangan Tuan Puteri Dayang Nuramah. Lantaran itu, Tuan Nakhoda Tua mengumumkan bahawa sesiapa yang dapat menyelamatkan kapal layar hingga ke Pulau Jawa maka akan dikahwinkan dengan anakandanya, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.

Untuk menguji kehandalan Awang Sulung, tuan puteri meminta Awang Sulung mengambil air minuman dan kayu api. Awang Sulung mengambil air di tengah laut dan memungut batang nipah untuk dijadikan kayu api. Jurumudi yang membenci Awang Sulung meminta Si Kembang Cina memberi sisa-sisa nasi di dalam tempurung berbulu kepada Awang Sulung. Tuan puteri marah, lalu menitahkan Si Kembang Cina menghidangkan makanan di dalam talam beralaskan kain kuning.

Pelayaran diteruskan. Apabila sampai di Pulau Salah Nama, mereka diserang oleh lanun. Awang Sulung mengatakan tangan dan kakinya sakit apabila diminta menentang lanun. Tuan puteri menyuruh Si Kembang Cina memberikan limau selipat pagar dan sabun wangi kepada Awang Sulung. Setelah mandi maka terpancarlah rupa paras Awang Sulung yang sebenar. Awang Sulung memakai pakaian pusaka tua warisan daripada bondanya, keris dan pedang sakti kemudian menyeru lanun-lanun menentangnya. Demi mendengar suara Awang Sulung, lanun-lanun pun menggigil ketakutan.

Awang Sulung mahu pulang ke Bandar Mengkalih kerana hutangnya dengan Tuanku Nakhoda Tua telah langsai kerana baginda telah menyelamatkan kapal layar daripada serangan Tuan Puteri Dayang Nuramah. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa enggan berpisah dengan Awang Sulung. Tuan puteri cuba terjun ke dalam laut tetapi dihalang oleh hulubalang. Tuan Puteri pengsan dan sedar setelah mendengar pantun yang diucapkan oleh Awang Sulung.

Lanun-lanun mengisikan dinar emas di dalam kapal layar sebelum pulang ke kapal masing-masing. Jurumudi memberitahu Tuanku Nakhoda Tua bahawa dialah yang menyelamatkan kapal layar daripada serangan lanun. Oleh itu, Tuanku Nakhoda Tua menitahkan Mualim Cik Mas menikahkan Tuan Puteri dengan jurumudi. Tuan puteri memberitahu Tuanku Nakhoda Tua perkara yang sebenar. Pernikahan tersebut dibatalkan. Tuanku Nakhoda Tua meminta maaf kemudian mengahwinkan Awang Sulung dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa.

Pelayaran diteruskan sehinggalah sampai di negeri Pati Talak Terengganu. Raja negeri Pati Talak Terengganu mempersilakan Awang Sulung naik ke darat untuk bersuka-sukaan. Baginda mahu mengakui bahawa Awang Sulung itu adalah anak buahnya tetapi khuatir jika tersilap orang. Rakyat Terengganu kagum akan kehebatan Awang Sulung kerana alat-alat kebesaran diraja berbunyi sendiri menyambut kedatangan baginda.

Setelah mendapat keizinan daripada raja Terengganu, Awang Sulung mempertaruhkan Kinantan Suci dalam pertandingan berlaga ayam. Kinantan Suci hampir tewas tetapi setelah diseru Awang Sulung, Kinantan Suci dapat menaji lawannya hingga mati. Setelah selesai menyabung ayam, Awang Sulung dipersilakan naik ke istana. Semua pembesar negeri dan rakyat negeri Terengganu amat gembira dikunjungi Awang Sulung.

Tuesday, March 22, 2011

Rumahku Keluargaku Syurgaku

Alhamdulillah. Dah nak habis Mac 2011. Tak lama lagi masuk bulan baru. Cepat betul masa berlalu. Bulan Mac banyak sejarah. Paling hebat ulang tahun perkahwinanku yang ke 17. Erm..angka 17 lagi. Anak manis 17, aku lahir pada 17, tarikh nikah 17, sama tarikh nikah arwah emak bapakku. Bertuah sungguh kerana kebetulan pada tarikh yang sama.
Tahun ini aku dapat surprise dari anak-anakku yang kali pertama meraikan kami sempena ulangtahun perkahwinan. Aku tak sangka anak-anak aku dapat buat satu program yang simple tapi aku rasa cukup hebat. Sepanjang hidup aku, aku tak pernah meraikan ulangtahun perkahwinan kedua ibubapa ku. Alhamdulillah..kerana anak-anakku begitu ambil berat tarikh ulang tahun itu.
Sekarang aku rasa sebuah kehidupan berkeluarga telah sempurna. Ada tempat berteduh untuk anak-anak. Ada isteri yang penyayang. Anak-anak yang pintar. Jiran tetangga yang ramah tamah dan ambil berat. Rakan-rakan sekerja yang understanding. Uh betapa nikmatnya aku rasa hidupku sekarang. Mungkin berkat kesabaran ku dan ahli keluarga menempuh segala dugaan.
Aku berharap anakku berjaya dengan cemerlang dalam SPM tahun ni. Juga anak-anakku yang lain agar mengulangi kecemerlangan seperti tahun-tahun sudah. Mereka adalah hartaku yang tidak ternilai harganya yang selama ini mengangkat martabat keluargaku khususnya dalam bidang pelajaran. Biarlah aku miskin harta asalkan anak-anakku berjaya dalam pelajaran serta menjadi anak-anak yang solehah.
Kepada Allah Yang Maha Esa kumohon agar Kau limpahi kami dengan rezeki yang halal, dijauhi daripada sebarang fitnah dan niat jahat, diberkati hidup sekeluarga serta sentiasa berada dalam rumahtangga yang aman, tenang dan bahagia. Moga kami dilindungi oleh Allah daripada apa-apa angkara jahat yang cuba menganggu kedamaian kami sekeluarga. Amin.

Monday, March 14, 2011

Erti Sebuah Perjuangan

Dalam diam sudah 25 tahun aku berada di kerjaya ini. Bermula dari 'orang sangkut' hinggalah aku jadi orang sebenar dalam kerjaya pilihanku. Sepanjang tempoh itu aku melalui pelbagai cabaran. Ada yang suka , ada yang duka. Namun, mencari lumrah hidup. Ibarat setiap yang pasang pasti ada surutnya, tiap siang ada malamnya, tiap yang panas pasti ada hujannya. Aku tak fikir sangat tentang kepayahan sepanjang tempoh itu kerana aku dah biasa dengan kepayahan. Aku tidak fikir sangat tentang kemenangan kerana aku dah biasa dengan kekalahan.
Kalau dihitung jumlah produk selama tempoh itu jugak, dah beribu-ribu rasanya. Tapi aku tak pasti sama ada mereka masih ingat pada aku. Ah, itu tak penting. Yang lebih mustahak aku telah menjadikan mereka semua ada sedikit pemindahan ilmu. Biasalah, lumrah manusia seperti pepatah ,'kacang lupakan kulit'. Nak buat macam mana. Kecuali mereka terfikir untuk mengimbas jasa pendidik mereka. Pasti mereka akan muhasabah diri.
Kini aku berada di fasa akhir sebuah kerjaya. Biarpun masa masih agak lama, aku harus sedar bahawa fasa akhir itu adalah perkara yang pasti berlaku. Cuma aku kini seperti 'kembali ke pangkuan'. Selama tempoh berkenaan aku banyak berada di luar daerah kelahiran. Takpe lah, dah adat berkhidmat. Satu cabaran tersemat dalam fikiran aku apabila ada suara yang seolah-olah memberi pesanan. Lebih kurang bunyinya,' balik ke tempat kelahiran seharusnya perlu lebih baik daripada orang luar untuk memberi khidmat.' Perkara itu aku sambut dengan positif.
Dengan izin Allah, aku akan cuba. Sungguhpun pada permulaan terdapat sedikit gelora di air tenang, aku bersedia menempuhi segala cabaran. Aku berasa matang dengan bekalan cabaran yang lepas untuk menghadapi cabaran baru di daerah kelahiran sendiri. Semoga Allah memberi aku kekuatan untuk menghadapi semuanya. Aku amat yakin Allah bersama aku dalam menghadapi dugaan dan cabaran.
Syukurku kerana dibekalkan dengan pesanan keramat kedua-dua arwah ibu bapaku supaya menjadi pejuang sebenar dalam menempuh pancaroba kehidupan. Mereka sudah biasa dengan kepayahan dan cabaran. Kini giliran aku untuk sebaris dengan perjuangan ibu ayahku. Semoga hatiku cekal dan tabah menghadapi semua itu. Amin.

Sunday, March 13, 2011

Tugasan Masa Cuti Bahasa Melayu Tingkatan 4 (4C dan 4G)

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha menghidupkan semangat kejiranan dan masalah dalam mewujudkan semangat ini. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Semangat kejiranan merujuk semangat membantu masyarakat setempat terutama jiran bersebelahan dalam menjalani kehidupan seharian. Kita akui semangat kejiranan semakin hilang dalam masyarakat kita sehingga menimbulkan pelbagai isu semasa pula. Jadi, ada banyak faedah yang boleh dilaksanakan untuk memastikan semangat ini berterusan kerana memang ada kepentingannya untuk menghidupkan semangat mulia ini. Langkah awal ialah masyarakat menghidupkan semua konsep rukun tetangga perumahan terutama pada malam hari. Aktiviti ini memerlukan pembabitan semua pihak tanpa mengira kaum. Oleh itu, hubungan rapat yang terjalin memalui rukun tetangga ini mengeratkan lagi perhubungan antara jiran. Selain itu, semangat ini mampu dipupuk dengan mengadakan pelbagai majlis yang melibatkan orang ramai. Semua jiran akan beramah mesra dan mengenali satu sama lain melalui majlis yang dapat menghimpunkan semua penduduk dalam satu-satu masa. Setiap hari penduduk begitu sibuk dan pertemuan yang dijalankan akan mengeratkan ikatan silaturahim.
Kerajaan turut mampu memainkan peranan dengan mengadakan kempen kesedaran semangat kejiranan. Penggunaan media massa seluas mungkin dengan iklan yang menarik sudah pasti berupaya menarik perhatian masyarakat terhadap isu ini. Masyarakat akan mula mempersoalkan tahap semangat kejiranan mereka dan berusaha ke arah mengekalkan serta meningkatkan semangat itu di kawasan mereka. Sememangnya kerajaan berperanan penting dalam memulakan usaha memupuk semangat mulia ini. Pada masa yang sama sikap dan persepsi masyarakat perlu berubah. Masyarakat hendaklah memandang semangat kejiranan ini sebagai satu perkara penting dalam kehidupan bermasyarakat. Semangat ini perlulah diutamakan dalam sebarang tindakan yang ingin dilaksanakan oleh masyarakat. Jelaslah, paradigma yang baharu ini memastikan semangat kejiranan akan terus mekar dalam masyarakat kita.
Di kawasan bandar, ketua penduduk perlulah memainkan peranan memastikan penduduk di kawasannya hidup dalam keadaan harmoni. Tidak kira apa kaum sekalipun, ikatan kejiranan akan menjadi kukuh kalau ada rasaa hormat-menghormati dan bekerjasama. Ketua penduduk mestilah mengetahui dan mengambil perhatian terhadap hubungan jiran-jiran yang bermasalah. Sebagai contoh, jika sudah diketahui dua buah keluarga sering bertengkar, ketua penduduk mestilah memikirkan kaedah-kaedah untuk merapatkan hubungan kedua-dua buah keluarga tersebut, di samping memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang berlaku kelak jika masalah tersebut tidak ditangani secepat mungkin. Ketua penduduk juga mestilah memikirkan cara-cara untuk mengukuhkan hubungan kejiranan di kawasan yang ditanganinya.
Membiarkan penduduk tanpa sebarang aktiviti akan merenggangkan hubungan kejiranan. Hari keluarga dan gotong-royong merupakan antara aktiviti yang boleh dijalankan untuk memastikan semangat kejiranan semakin padu. Ketua penduduk mestilah menjalankan peranan yang lebih berkesan terutamanya menjaga anak-anak buah di bawah jagaannya dengan cara bertanya khabar dan menyelesaikan masalah. Di kampung-kampung, mungkin kes seperti ini tidak akan berlaku. Antaranya hubungan sesama jiran erat kerana sudah mengenali sejak kecil lagi. Selain itu, hubungan kejiranan di sesetengah kampung masih utuh disebabkan banyak aktiviti dilakukan bersama-sama seperti bergotong-royong. Malah corak pekerjaan yang sama menyebabkan hubungan kejiranan menjadi lebih kental. Semangat kejiranan memang boleh dicapai melalui beberapa kaedah yang dijelaskan tadi. Cuma tidak ramai kalangan kita yang peka akan kepentingan hidup bermasyarakat. Rata-rata lebih mengutamakan wang berbanding hal-hal lain.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana " Memantapkan Hubungan Kejiranan", oleh M. Jasni Majed, Utusan Malaysia, 30 April 2010)

Berdasarkan petikan rumusan, jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

i. Berikan maksud rangkai kata ditangani secepat mungkin.

ii. Masalah kejiranan kurang berlaku di kampung-kampung. Nyatakan tiga sebab-sebabnya.

iii. Pada pendapat anda, apakah yang patut anda lakukan untuk memastikan hubungan anda dengan jiran anda menjadi karab.
Kemukakan empat alasan anda.

Nota : Tulis rumusan dan jawapan kefahaman di dalam buku rumusan. Hantar pada 21 Mac 2011.