Cili Padi

Cili Padi

Friday, April 29, 2011

Tugasan Masa cuti (4C/4G) - RUMUSAN

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang cara-cara mewujudkan amalan berjimat cermat dan masalah ibu bapa dalam menguruskan kewangan keluarga. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Amalan berjimat cermat merupakan sikap yang mulia dan seharusnya dipraktikkan sepenuhnya oleh masyarakat Malaysia, apatah lagi dengan keadaan harga barangan yang semakin meningkat. Ramai daripada kita boros dalam berbelanja sehinggakan menyusahkan diri dan keluarga. Oleh itu, langkah-langkah yang sewajarnya perlu diambil untuk menanamkan sikap berjimat cermat dalam kalangan masyarakat. Amalan menabung wajar diterapkan dalam kalangan kanak-kanak bagi memberi pendedahan sejak usia awal terhadap pengurusan kewangan. Pepatah Melayu, melentur buluh biar dari rebung hendaklah menjadi asas penting terhadap tabiat yang baik untuk masa depan. Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) , sebagai pertubuhan bukan kerajaan yang aktif memberi maklumat, pendidikan dan perlindungan kepada pengguna agar tahu menguruskan kewangan yang betul. Sebenarnya amalan berjimat banyak bergantung pada sikap ibu bapa.
Oleh itu, ibu bapa haruslah menyediakan belanjawan kewangan keluarga. Melalui belanjawan kewangan, perbelanjaan dapat dikawal. Tanpa belanjawan kewangan, ibu bapa akan membeli apa-apa sahaja yang difikirkan menarik tanpa menyedari tabungan semakin berkurangan. Malah, ibu bapa perlu merancang kewangan untuk masa depan anak. Sediakan payung sebelum hujan. Anak-anak yang masih kecil memang perbelanjaannya tidak banyak, tetapi apabila meningkat remaja , kos pengajian di peringkat tinggi amat membebankan jika tiada perancangan yang tepat. Ramai daripada kita suka makan di luar atas alasan masing-masing sibuk bekerja. Ada yang berpendapat , sesudah puas bekerja, tidak menjadi masalah merasai kesusahan tersebut dengan berhibur di luar. Amalan tersebut tidak salah, tetapi perlulah berpada-pada. Oleh itu, dicadangkan masak sendiri di rumah untuk makanan keluarga. Air tangan ibu atau isteri akan mengikat kasih sayang antara keluarga serta lebih terjaga kebersihannya.
Malah, sebaik-baiknya kita patut membawa bekalan ke pejabat atau sekolah. Jangan malu untuk membawa bekal ke pejabat atau ke sekolah. Dengan cara ini kita dapat berjimat paling kurang RM5.00 sehari. Duit yang dijimatkan ini boleh dijadikan simpanan untuk masa hadapan dan kecemasan. Sesiapapun tidak dapat menafikan bahawa kos penyelenggaraan kereta amat tinggi. Oleh itu, dicadangkan kita perlu berkongsi kenderaan untuk ke tempat kerja. Walaupun harga minyak telah turun namun amalan berjimat cermat akan sentiasa menguntungkan kita. Gunakan kenderaan awam seperti bas, komuter atau LRT sebagai alternatif. Kita juga perlu berjimat dalam penggunaan air, elektrik dan gas. Sebagi contoh, keluarga perlu dididik untuk menghargai nikmat ini dan elakkan dari pembaziran dengan menutup peralatan elektrik di ruang yang tidak digunakan. Berpada-pada menggunakan pendingin udara. Begitu juga air di bilik mandi ketika mandi atau mencuci. Ketika membeli-belah pula, kita perlu membuat perbandingan harga terlebih dahulu.
Amalan ini amat penting kerana kadangkala terdapat perbezaan harga di antara kedai; lain tempat lain harga walaupun barang yang dijual adalah sama dari segi jenis dan kualitinya. Amalan ini membantu juga untuk berjimat. Malah, sebaik-sebaiknya kita mengelakkan membeli barangan berjenama. Dalam situasi ekonomi yang merosot kini, kita tidak perlu terlalu berkira tentang jenama barangan yang ingin dibeli. Jika barangan tersebut mempunyai kualiti yang baik setanding dengan barangan berjenama, kita sebagai pengguna harus bijak memilihnya. Jelaslah kepada kita, amalan berjimat cermat sudah pasti akan melahirkan masyarakat yang bijak dan progresif kerana mempunyai sumber kewangan yang mencukupi. Mahatma Gandhi ada berkata, " Berfikir untuk hari esok, namun bertindaklah hari ini". Oleh yang demikian, pelbagai pihak wajar memainkan peranan agar amalan berjimat cermat menjadi budaya masyarakat kita setiap masa tanpa mengira peringkat umur.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana " Generasi Muda Perlu Diterap Cara Berhemat Urus Kewangan", oleh Jami'ah Shukri, Berita Harian, 23 Mac 2010_

Berdasarkan petikan rumusan, jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

1. Berikan maksud rangkai kata situasi ekomoni yang merosot

2. Nyatakan tiga amalan negatif masyarakat ketika berbelanja.

3. Pada pendapat anda, apakah peranan yang perlu dimainkan oleh sekolah, agar tabiat berhemat dalam berbelanja dapat disemai dalam jiwa pelajar-pelajar?
Kemukakan empat pendapat anda.


Nota : Sila hantar tugasan anda pada 4 Mei 2011, hari Rabu sebelum jam 1.35 petang.

1 comment:

  1. ckgu stkat nvel nie snag je....kn nye ssah sangat pon.....

    ReplyDelete