Cili Padi

Cili Padi

Monday, March 14, 2011

Erti Sebuah Perjuangan

Dalam diam sudah 25 tahun aku berada di kerjaya ini. Bermula dari 'orang sangkut' hinggalah aku jadi orang sebenar dalam kerjaya pilihanku. Sepanjang tempoh itu aku melalui pelbagai cabaran. Ada yang suka , ada yang duka. Namun, mencari lumrah hidup. Ibarat setiap yang pasang pasti ada surutnya, tiap siang ada malamnya, tiap yang panas pasti ada hujannya. Aku tak fikir sangat tentang kepayahan sepanjang tempoh itu kerana aku dah biasa dengan kepayahan. Aku tidak fikir sangat tentang kemenangan kerana aku dah biasa dengan kekalahan.
Kalau dihitung jumlah produk selama tempoh itu jugak, dah beribu-ribu rasanya. Tapi aku tak pasti sama ada mereka masih ingat pada aku. Ah, itu tak penting. Yang lebih mustahak aku telah menjadikan mereka semua ada sedikit pemindahan ilmu. Biasalah, lumrah manusia seperti pepatah ,'kacang lupakan kulit'. Nak buat macam mana. Kecuali mereka terfikir untuk mengimbas jasa pendidik mereka. Pasti mereka akan muhasabah diri.
Kini aku berada di fasa akhir sebuah kerjaya. Biarpun masa masih agak lama, aku harus sedar bahawa fasa akhir itu adalah perkara yang pasti berlaku. Cuma aku kini seperti 'kembali ke pangkuan'. Selama tempoh berkenaan aku banyak berada di luar daerah kelahiran. Takpe lah, dah adat berkhidmat. Satu cabaran tersemat dalam fikiran aku apabila ada suara yang seolah-olah memberi pesanan. Lebih kurang bunyinya,' balik ke tempat kelahiran seharusnya perlu lebih baik daripada orang luar untuk memberi khidmat.' Perkara itu aku sambut dengan positif.
Dengan izin Allah, aku akan cuba. Sungguhpun pada permulaan terdapat sedikit gelora di air tenang, aku bersedia menempuhi segala cabaran. Aku berasa matang dengan bekalan cabaran yang lepas untuk menghadapi cabaran baru di daerah kelahiran sendiri. Semoga Allah memberi aku kekuatan untuk menghadapi semuanya. Aku amat yakin Allah bersama aku dalam menghadapi dugaan dan cabaran.
Syukurku kerana dibekalkan dengan pesanan keramat kedua-dua arwah ibu bapaku supaya menjadi pejuang sebenar dalam menempuh pancaroba kehidupan. Mereka sudah biasa dengan kepayahan dan cabaran. Kini giliran aku untuk sebaris dengan perjuangan ibu ayahku. Semoga hatiku cekal dan tabah menghadapi semua itu. Amin.

No comments:

Post a Comment